fbpx

Vaksin turunkan risiko kematian ibu hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Liputan vaksinasi yang tinggi (94.7 peratus) dalam kalangan populasi dewasa berumur 18 tahun ke atas yang telah dicapai pada Oktober tahun lalu antara salah satu faktor utama menyumbang kepada penurunan kes kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan data untuk tahun ini sehingga 15 Februari, tiada kes kematian ibu hamil dilaporkan disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19.

Menurutnya, sejak pandemik Covid-19 bermula pada tahun 2020, sejumlah 191 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 dengan kesemua kematian dilaporkan pada tahun lalu.

“Bagi tahun 2021, kemuncak kematian ibu hamil akibat komplikasi jangkitan Covid-19 ialah pada bulan Julai (31 kes), Ogos (77 kes) dan September (44 kes). Kes kematian semakin menurun pada Oktober (12 kes), November (tiga kes) dan tiada kes kematian bagi Disember.

“Analisis data kematian menunjukkan 79 peratus daripada kes kematian tidak menerima vaksin Covid-19 manakala 83 peratus daripada kes kematian mempunyai komorbid. Masalah berat badan (berat badan berlebihan atau obesiti) juga merupakan faktor risiko yang kerap dilaporkan,”ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, sejak Mac 2020 sehingga Januari tahun ini, sejumlah 18,277 kes Covid-19 dalam kalangan ibu hamil telah dilaporkan dan bilangan itu merupakan 0.64 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 yang dilaporkan bagi tempoh yang sama.

“Bagi tahun lalu, bilangan kes dalam kalangan ibu hamil melonjak naik pada Julai hingga September dan mula menunjukkan trend penurunan pada Oktober 2021 hingga Januari tahun ini.

“Berdasarkan pencapaian kempen Ibunisasi, data sehingga akhir Oktober tahun lalu menunjukkan 94 peratus daripada ibu hamil yang mendaftar diaplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin Covid-19 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan daripada jumlah tersebut, 91 peratus telah lengkap menerima dua dos vaksin,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI