GEORGE TOWN – Tiga warga asing termasuk seorang wanita yang disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran pil kuda di negeri ini ditahan dalam tiga serbuan berbeza di sekitar Jelutong, pada Rabu dan Khamis lalu.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas pil kuda bernilai RM900,000, dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM69,500 dan pil jenis psikotropik bernilai RM9,000 di apartmen salah seorang suspek di Jelutong.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 34 hingga 47 tahun itu dipercayai mengedar pil serta dadah berkenaan sejak Mac 2021.
Katanya, salah seorang suspek telah berada di negara ini sejak 10 tahun lalu dan mereka mengaku bekerja sebagai kontraktor binaan manakala wanita yang ditahan adalah teman wanita salah seorang suspek berusia 36 tahun.
“Menerusi operasi ini, polis berjaya merampas 15 bungkusan kertas berwarna coklat yang di dalamnya mengandungi 30 paket plastik disyaki pil kuda berjumlah 90,000 biji dianggarkan bernilai RM900,000.
“Selain itu, polis juga merampas dua bungkusan plastik disyaki dadah syabu seberat 1.93 kilogram (kg) bernilai RM69,500 dan turut dirampas 18 paket lutsinar berisi pil jenis psikotropik berjumlah 27,000 biji bernilai RM9,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek didapati mempunyai dokumen untuk tinggal di negara ini, dan hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah.
“Polis percaya pil psikotropik yang dirampas adalah untuk pasaran pekerja di tapak pembinaan kerana pil berkenaan dapat membantu mengatasi masalah tidur dan kemurungan,” katanya. – KOSMO! ONLINE