KAPTEN Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syed Mohd. Syafiq Syed Cholan yakin mereka mampu menumbangkan pilihan utama, Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Tonggak pertahanan kebangsaan itu sudah mengenal pasti beberapa kelemahan perlu diperbaiki berdasarkan aksi persahabatan menentang THT yang berkesudahan TNB tewas 1-3 baru-baru ini.
Gol tunggal TNB pada aksi persahabatan itu dijaringkan oleh Muhammad Amirul Hanif Mamat, manakala gol-gol THT diperoleh menerusi satu jaringan Faizal Saari dan dua daripada Abdul Khaliq Hamirin.
“Semua orang tahu THT adalah pasukan lengkap dan berpengalaman. Sekarang pula mereka diperkuatkan dengan tiga kapten kebangsaan, Marhan (Jalil), Sukri (Mutalib) dan (Shahrun) Nabil.
“Walaupun TNB ramai pemain muda dan kurang pengalaman, tidak mustahil untuk kami kalahkan THT. Memang THT pasukan pilihan tetapi atas padang apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Kekalahan pada aksi persahabatan baru-baru ini bagus buat kami untuk kenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki supaya ia tidak berlaku pada Piala Sumbangsih nanti,” kata Syed Syafiq ketika dihubungi Kosmo! semalam.