KUANTAN – Faktor kos logistik tidak boleh dijadikan alasan peniaga luar bandar untuk meningkatkan harga barang terutama barangan keperluan harian termasuk ayam dan telur .
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya menerima beberapa aduan mengenai kenaikan harga ayam di kawasan luar bandar yang tidak sepatutnya berlaku.
“Kita tetapkan harga kawalan bagi ayam adalah RM8.90 sekilogram untuk peruncit namun kita mendapat aduan ada segelintir pihak yang menjualnya sehingga RM11 sekilogram.
“Peniaga tidak boleh memberi alasan jauh daripada bandar dan kos pengangkutan lebih tinggi kerana harga kawalan ditetapkan selepas dibuat kajian terperinci termasuk kos pengangkutan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Walkabout di Pasaraya BS Freshmart Bukit Goh, di sini, hari ini.
Rosol berkata, walaupun pihaknya masih kekurangan kakitangan namun akan lebih kerap melaksanakan penguatkuasaan dan keberadaan pegawai di semua lokasi termasuk kawasan luar bandar.
“Kita akan selalu menguar-uarkan kepada orang ramai supaya membuat aduan jika ada peniaga yang didapati melakukan pencatutan harga namun kita tidak bergantung kepada aduan sahaja sebaliknya akan melakukan pemeriksaan secara berkala,” katanya. -KOSMO! ONLINE