fbpx

Peniaga kenakan syarat beli minyak masak peket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota KPDNHEP memeriksa sebuah kedai runcit di Taman Kenari, Kulim yang didakwa menjual minyak masak peket secara bersyarat pada pagi ini.

KULIM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kulim mengesan seorang peniaga menjual minyak masak peket sekilogram secara bersyarat di sebuah kedai runcit di Taman Kenari di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Mohd. Fazly Edros berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu daripada orang awam.

“Anggota KPDNHEP membuat penyamaran untuk memeriksa penjualan minyak masak peket di kedai runcit tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

“Pemilik premis didapati mengenakan syarat iaitu pengguna perlu membeli barang keperluan lain seperti gula, tepung  gandum atau sardin sebelum boleh membeli minyak masak peket,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kata beliau, pemilik kedai berusia lingkungan 50-an itu kemudian ditahan untuk disoal siasat.

“Anggota serbuan juga menerangkan adalah menjadi kesalahan sekiranya  pemegang lesen runcit  (CSA) barang kawalan mengenakan syarat belian sebelum menjual barang kawalan kepada pengguna,” ujarnya.

Menurutnya, pemilik premis mengakui mengenakan syarat belian barang lain sebelum menjual minyak masak peket  kerana terlalu ramai  pelanggan ingin membeli minyak masak peket dalam kuantiti banyak.

“Alasannya ada di antara pelanggan sama berulang kali datang dan  hanya membeli minyak masak peket sahaja,” ujarnya.

Katanya, pemeriksaan lanjut juga mendapati sebanyak 70 kilogram minyak masak peket sekilogram disimpan di dalam kedai  runcit berkenaan.

Tambahnya, kes  disiasat di bawah  Seksyen 19 Akta Kawalan  Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat  tidak sah dalam penjualan barang kawalan.

“Siasatan  lanjut  masih  dijalankan  dan kes akan dirujuk kepada Timbalan  Pendakwa Raya untuk  tindakan  lanjut  sama  ada  pemilik  akan dikenakan  kompaun  atau  didakwa  di  mahkamah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI