SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan menggesa supaya pihak kerajaan Persekutuan menyegerakan pembinaan rumah baharu bagi mangsa banjir Kampung Puom, Jelebu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya berharap pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dapat menyiapkan segera pembinaan tersebut yang melibatkan lapan buah rumah.
“Terdapat lapan buah rumah penduduk yang musnah dalam kejadian bencana banjir Disember tahun lalu. Saya berharap kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan pembinaan rumah baru berkenaan.
“Ketika ini keluarga yang terlibat tinggal sementara di rumah saudara-mara dan ada juga yang menyewa,” katanya dalam sidang akhbar selepas program SWM Kasih Misi Bantuan Pasca Banjir di sini hari ini.
Menurut Menteri Besar, setiap rumah yang bakal dibina tersebut bernilai RM56,000 dan kerajaan negeri turut membantu dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi pembinaan kemudahan infrastruktur di lokasi baharu pembinaan rumah tersebut.
Sementara itu, Aminuddin berterima kasih kepada pihak syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) Negeri Sembilan menerusi program SWM Kasih yang membantu 1,250 buah keluarga yang terjejas banjir di seluruh negeri ini.
“Kerajaan negeri berterima kasih atas sumbangan pihak SWM Environment iaitu berupa barangan elektrik seperti peti ais, periuk nasi, kipas meja, pengisar makanan dan dapur gas yang akan disalurkan kepada semua keluarga mangsa banjir di negeri ini.
“Pihak SWM Environment juga turut menyumbang sebanyak 250 buah mesin air bertekanan tinggi kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi membantu orang ramai sekiranya berlaku bencana banjir pada masa akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE