CAPE TOWN – Seorang ahli pemuliharaan berdepan dengan detik-detik cemas apabila diserang seekor badak sumbu hitam yang naik minyak ketika sedang menjalankan operasi di sebuah kawasan hutan, lapor akhbar New York Post semalam.
Tom Frew, bersama rakan sepasukannya terpaksa memanjat sebatang pokok dan berdiri di atas dahan kecil bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa haiwan tersebut.
Dia yang sedang menjalankan tugas-tugas menjejak dan menanda badak sumbu putih terkejut apabila diserang haiwan yang menjadi agresif itu.
“Sebaik sahaja badak sumbu tersebut datang ke arah kami, ia dapat menghidu bau rakan saya dari sebalik pokok lantas mengejar kami dari satu pokok ke pokok lain,” kata Frew.
Daripada satu rakaman video, haiwan itu kemudian dilihat berhenti di bawah pokok sambil memandang ke arah sasarannya sebelum berlalu dari situ dan memasuki kawasan belukar.
“Selepas dikejar badak sumbu itu, ia akhirnya berhenti mengejar dan kembali ke kawasan belukar.
“Kami duduk seketika di atas pokok selama beberapa minit bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum turun ke bawah dan menyambung tugasan,” ujar Frew.
Meskipun badak sumbu hitam tersebut telah dibuang sumbunya bagi mengelak kejadian perburuan haram, ia memberikan ancaman besar kepada pekerja pemuliharaan kerana berat badannya yang boleh mencapai sehingga 1,360 kilogram.
“Tambahan lagi, apabila badak sumbu tersedar daripada kesan bius, ia kebiasaannya memilih untuk berlawan berbanding melarikan diri,” kata Frew. – AGENSI