SEREMBAN – Sebuah lori yang membawa muatan minyak masak terbabas dalam kejadian di Kilometer 278.8 Lebuh Raya Utara Selatan Arah Utara dekat Nilai di sini petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu turut menyebabkan laluan di lebuh raya berkenaan sesak sepanjang lima kilometer.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sampai di tempat kejadian lori jenis Hino yang membawa muatan minyak masak telah terbabas akibat tayar belakangnya pecah.
“Akibat kemalangan ini, pemandu yang belum dikenal pasti identiti telah dibawa oleh orang awam ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan. Kelindan lori tersebut, M. Ganabathy, 39, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kemalangan telah menyebabkan kesesakan lebih kurang empat hingga lima kilometer dari arah Seremban menghala ke arah Nilai. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE