JAKARTA – Seorang pengemis di Pekanbaru dalam wilayah Riau ternyata tidak serik selepas berkali-kali ditangkap pihak berkuasa kerana berpura-pura menjadi lumpuh demi untuk mengemis, lapor Suara.com hari ini.
Lelaki dikenali sebagai AJ itu sebelum ini pernah ditangkap selepas dia didapati menipu dan boleh berjalan seperti biasa.
Dia kemudiannya dilepaskan pihak berkuasa selepas berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
AJ bagaimanapun ternyata tidak serik dan kembali menjalankan operasinya dengan berpura-pura tidak boleh berjalan bagi meraih simpati orang ramai.
Dia turut menggunting rambutnya bagi mengelakkan dirinya daripada dikenali orang ramai.
Selepas videonya menjadi tular, AJ akhirnya ditangkap pihak bekuasa dan dibawa ke pusat perlindungan kebajikan sosial.
“Kami sudah menangkap AJ dan dia telah ditempatkan di pusat perlindungan untuk beberapa ketika,” kata Ketua Jabatan Sosial Pekanbaru, Idrus.
AJ yang dikatakan hidup sebatang kara dilaporkan merantau ke Pekanbaru dan menjadi pengemis kerana kesempitan hidup. – AGENSI