fbpx

KIDaF sasar jual 10,000 kotak susu kambing sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jafri menunjukkan variasi perisa produk susu kambing jenama Faa-iz bagi memenuhi permintaan pengguna di pasaran.

BANDAR BAHARU – Kompleks Islam Darul Faizin (KIDaF) di Kampung Bukit Aping, Serdang di sini menerusi anak syarikatnya Al-Faizin Marketing melancarkan tiga lagi variasi perisa bagi produk susu kambing jenama Faa-iz bagi memenuhi permintaan pengguna.

Pengerusinya, Jafri Abu Bakar @ Mahmud berkata, pengguna kini boleh menikmati susu kambing Faa-iz berperisa coklat, vanilla dan strawberi selain rasa asli yang diperkenalkan lebih awal iaitu sejak lebih setahun lalu.

“Kami bermula dengan susu Faa-iz biasa tanpa perisa selama lebih setahun di pasaran sehingga pada suatu ketika, kami merasakan ada keperluan untuk mengeluarkan susu berperisa. 

“Tiga perisa ini terhasil daripada kajian secara rambang ke atas pengguna dan pengedar-pengedar susu Faa-iz,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Produk Maahad Darul Faizin dan Forum Perdana bersama Datuk Mohd. Kazim Elias, yang juga dikenali sebagai Ustaz Kazim di sini malam kelmarin.

Produk susu kambing dengan tiga perisa baharu itu dilancarkan oleh Ustaz Kazim.

Jafri berkata, pihaknya menyasarkan jualan kira-kira 10,000 kotak produk susu kambing berkenaan sebulan.

Ustaz Kazim (kanan) melancarkan perisa baharu susu kambing Faa-iz di Bandar Baharu, kelmarin.

“Susu kambing Faa-iz ini dijual pada harga RM45 sekotak menerusi rangkaian stokis di seluruh negara, ejen serta dropship yang mana promosi dilakukan menerusi media sosial termasuk Facebook,” ujarnya.

Menurut Jafri, semasa proses formulasi susu bermula, beliau menekankan agar susu dipilih daripada gred A kerana ia bukan sahaja lebih pekat, malah tiada bau hamis kambing.

“Ramai tahu tentang kelebihan susu kambing sebagai ‘miracle food’ yang mana susu terbaik di dunia selepas susu ibu ialah susu kambing.

“Kami turut memasukkan beras perang yang jarang-jarang dibuat orang untuk menghilangkan bau hamis kambing dan kedua-duanya membantu peminum untuk merasa kenyang,” jelasnya.

Tambahnya, bahan lain yang dimasukkan ialah kurma bagi memberikan tenaga segera sekali gus bertujuan untuk menggantikan gula dan supaya ia boleh diminum mereka yang menghidap kencing manis.

Ginkgo Biloba turut dimasukkan untuk kecerdasan otak bagi manfaat pelajar yang menghafaz al-Quran, warga emas untuk meningkatkan ingatan selain garam bukit yang mengandungi banyak khasiat serta sebagai penambah perisa.

Sementara itu, Jafri turut menjelaskan bahawa perniagaan dan hasil jualan produk susu adalah sebagai usaha untuk menjana pendapatan madrasah supaya tidak hanya bergantung kepada kutipan sumbangan untuk kelangsungan operasi yang mencecah RM30,000 sebulan.

“Cara terbaik adalah dengan memulakan perniagaan ini memandangkan KIDaF tidak mengenakan yuran kepada pelajar tahfiz dan warga emas yang mengikuti pengajian di sini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI