JOHOR BAHRU – Kerajaan tidak memaksa ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka divaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids), biar pun peratusan golongan kanak-kanak itu divaksin masih rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ibu bapa diberi pilihan walaupun pelaksanaan program itu dianggap sesetengah pihak sebagai satu paksaan kerajaan.
“Kita sudah bincangkan perkara ini dalam Kabinet. Memang tidak ada paksaan untuk kanak-kanak divaksin. Malah, bagi dos penggalak juga tidak pernah ada paksaan.
“Tetapi, kita tahu program vaksinasi untuk kanak-kanak ini perkara baharu. Biasalah, bila sesuatu perkara baharu, orang ramai mungkin ada rasa takut dan bimbang, sama seperti ketika pemberian vaksin dos pertama di peringkat awal dulu, ada yang takut hendak ambil, tetapi lama kelamaan orang mula berebut-rebut nak ambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Karnival Usahawan dan Koperasi Malaysia di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, setakat ini penerimaan masyarakat terhadap vaksinasi semakin meningkat sama ada bagi golongan kanak-kanak mahu pun dos penggalak bagi golongan dewasa.
Beliau tidak menafikan kebimbangan orang ramai mendapatkan vaksin berikutan terlalu banyak cerita tidak sahih yang disebarkan.
“Saya tidak salahkan rakyat sebab memang ada yang takut jika ada benda tidak baik berlaku pada anak mereka. Tidak mengapa, saya tekankan di sini, tiada paksaan.
“Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memberi jaminan tidak ada isu atau kesan buruk daripada pengambilan vaksin ini, tetapi ia tetap terserah kepada rakyat,” jelasnya.
Sehingga semalam, 9.6 peratus atau 341,960 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 melalui PICKids. – KOSMO! ONLINE