GUA MUSANG – Penduduk Kampung Batu Machang, Jerek di sini, menyifatkan kes seorang anak memenggal kepala ibu tirinya merupakan kejadian jenayah paling menakutkan pernah berlaku di kampung mereka.
Seorang penduduk, Che Mohamad Konok, 67, berkata, meskipun kedudukan kampung tersebut terpencil, namun sehingga kini tiada kejadian tragis seperti itu berlaku di kampung berkenaan.
Katanya, dia yang tinggal di situ sejak 55 tahun lalu juga tidak menyangka suspek sanggup bertindak kejam ke atas ibu tirinya.
“Sebelum ini, kami sering melihat dan berbual dengan suspek yang dipercayai sakit mental ketika dia berjalan di sekitar kampung.
“Kami juga mengetahui suspek merupakan penagih dadah dan telah beberapa kali ke hospital sakit jiwa.
“Bagaimanapun, ketika bersama orang kampung perangainya elok dan ada kalanya suspek turut ke masjid,” katanya di sini semalam.
Berita berkaitan: Suspek kes penggal, bunuh ibu tiri direman tujuh hari
Jiran mangsa, Rohani Husin, 58, yang tinggal kira-kira 100 meter dari rumah mangsa berkata, sebelum kejadian dia tidak mendengar sebarang pergaduhan di rumah berkenaan.
Katanya, dia sudah lama tidak berjumpa mangsa kerana dia sibuk menoreh getah selain sering berada di rumah.
“Wanita berkenaan sangat disenangi jiran di kampung ini kerana dia rajin mencari rezeki.
“Kami tidak menyangka dia menjadi mangsa korban di tangan anak tiri lelakinya sendiri,” luahnya.