MILAN – Ketua Jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi mahu anak-anak buahnya kekal positif selepas berjaya memberikan saingan sengit meskipun tewas 0-2 kepada Liverpool dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik di San Siro awal pagi semalam.
Meskipun beraksi di laman sendiri, Nerazzurri terpaksa akur dengan kekuatan pasukan lawan yang sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila meraih gol menerusi Roberto Firmino dan Mohamed Salah pada penghujung babak kedua.
Kata Inzaghi, pasukannya layak berbangga kerana mempamerkan prestasi luar biasa khususnya pada babak pertama tetapi nasib tidak menyebelahi.
“Saya puas hati dengan komitmen yang pemain pamerkan tetapi agak terkilan kerana ketika kami mendominasi perlawanan, pasukan gagal terjemahkan peluang yang ada kepada jaringan dan saya rasa kami sepatutnya boleh menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol.
“Namun, inilah lumrah bola sepak kerana kita menentang Liverpool. Tidak keterlaluan untuk saya katakan, menentang mereka adalah paling sukar buat kami musim ini,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan oleh penyerang Inter, Edin Dzeko yang percaya barisan pemain telah memberikan kesukaran buat skuad The Reds untuk tempoh lebih 60 minit tetapi nasib tidak memihak kepada mereka.
“Apa yang kami pamerkan kali ini cukup berkualiti dan setanding dengan Liverpool. Saya fikir kami masih mempunyai peluang, boleh cuba lagi pada aksi kedua nanti,” katanya. – AGENSI