PETROPOLIS, Brazil – Sekurang-kurangnya 78 orang terbunuh dalam bencana banjir kilat dan tanah runtuh di bandar Petropolis dengan jalan-jalan bertukar menjadi sungai yang mengalir deras lantas menghanyutkan rumah penduduk, kata beberapa pegawai kelmarin.
Pekerja penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa terselamat yang tertimbus di dalam lumpur dan di bawah runtuhan selepas hujan lebat melanda bandar di kawasan bukit-bukau itu, Selasa lepas. Hujan selama tiga jam itu menyamai taburan hujan sebulan di Petropolis yang terletak ke utara bandar raya Rio de Janeiro.
Angka kematian dibimbangi akan meningkat secara berterusan kelmarin dan boleh meningkat jauh lebih tinggi ketika anggota bomba dan sukarelawan menggali sisa-sisa rumah yang dihanyutkan oleh banjir lumpur, kebanyakannya terletak di lereng bukit.
Hujan lebat pada Selasa lepas adalah yang terbaharu melanda Brazil dalam tempoh tiga bulan lalu. Pakar-pakar berkata, ribut dan hujan yang melanda negara Amerika Selatan itu menjadi semakin buruk akibat perubahan iklim.
Menurut pentadbiran tempatan, sekurang-kurangnya 21 orang telah diselamatkan hidup-hidup. Menggunakan anjing, jengkaut dan helikopter, pekerja-pekerja penyelamat bekerja keras untuk mencari lebih banyak mangsa sebelum terlambat.
Kira-kira 300 mangsa bencana alam itu ditempatkan di tempat perlindungan sementara, kebanyakannya di sekolah, kata beberapa pegawai. Badan-badan amal pula menyeru sumbangan tilam, makanan, air, pakaian dan pelitup muka untuk mangsa.
“Saya menjumpai seorang gadis yang tertimbus hidup-hidup. Bandar ini tidak ubah seperti zon perang,” kata penduduk tempatan, Wendel Pio Lourenco yang berusia 24 tahun.
Gabenor Claudio Castro menyatakan perkara yang sama selepas melawat tempat kejadian.
“Ia kelihatan seperti adegan perang. Ia luar biasa,” katanya pada satu sidang akhbar.
Petropolis ialah destinasi popular untuk pelancong yang melarikan diri dari musim panas Rio de Janeiro. – AFP