fbpx

Dana Mitra: Ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 35 pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Tertuduh, Datuk B. Reghu, 62, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut 35 pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan Laporan Akhir Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara Reform Training yang mana program-program yang diperuntukkan di bawah geran kewangan Mitra antaranya senarai kedatangan peserta, surat perakuan penggunaan dana, baucer bayaran, invois dan cek deposit resit.

Kesalahan itu, didakwa dilakukan di Mitra, Putrajaya pada 5 Mei 2021.

Bagi 35 pertuduhan itu, pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 atau mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sementara itu tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas 23 lagi pertuduhan pilihan iaitu didakwa dengan curangnya menggunakan pelbagai dokumen sebagai tulen di mana mempunyai sebab untuk mempercayai adalah satu dokumen palsu pada tarikh dan lokasi sama.

Bagi 23 pertuduhan tersebut pendakwaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama dan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohd. ‘Afif Ali mencadangkan agar mahkamah mengenakan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Namun peguam Hamidi Noh mewakili tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan dan mahu jaminan itu dibayar secara ansuran serta beliau juga memaklumkan pasport tertuduh telah tamat tempoh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan bayaran jumlah itu dilakukan secara ansuran dengan RM10,000 pada hari ini manakala selebihnya sehingga 23 Februari ini.

Selain itu, mahkamah menetapkan agar tertuduh untuk melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka pada minggu pertama setiap bulan manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI