AKSI lebih kemas perlu ditampilkan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang dijadualkan berlangsung esok.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu terpaksa menanggung malu selepas tewas 21-23, 16-21 kepada beregu No.857 dunia dari Jepun, Ayato Endo-Yuta Takei dalam aksi berpasukan tersebut.
Justeru, Aaron mahu melupakan kekalahan tersebut dan mahu memberi fokus sepenuhnya menjelang aksi separuh akhir esok yang dijangka menjanjikan saingan lebih sukar.
“Selepas tewas pada set pertama, memang kami berada dalam keadaan lebih tertekan kerana mereka sudah dapat keyakinan serta bermain sangat pantas. Memang tekanan sentiasa ada dalam setiap perlawanan.
“Bagi saya, sekarang kami sudah kalah, jadi mahu lupakan perkara itu dan fokus pada aksi separuh akhir esok. Saya akui kami hilang fokus ketika sedang mendahului 20-14 pada set pertama,” katanya selepas tamat perlawanan.
Aaron turut menegaskan, mereka langsung tidak memandang rendah keupayaan pihak lawan biarpun pada edisi kali ini Jepun hanya menghantar pasukan yang boleh dianggap sebagai skuad simpanan mereka.
“Memang kita tidak pandang rendah kemampuan mereka. Tidak ada istilah pasukan A atau B kerana Jepun sentiasa dianggap pasukan terkuat, namun kita sudah cuba buat yang terbaik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE