SHAH ALAM – Tawaran sewaan rumah serendah RM500 di Wisma Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Seksyen 3 di sini mendapat permohonan yang tinggi dalam tempoh dua hari.
MAIS dalam kenyataannya berkata, sambutan hangat itu setelah hebahan melalui media sosial dan media perdana dibuat bermula semalam.
“Justeru, tawaran ini ditutup bagi membolehkan pihak MAIS membuat saringan kepada mereka yang telah menghantar permohonan.
“Pihak MAIS akan mendahulukan pemohonan beserta borang dan dokumen yang lengkap mengikut kriteria yang ditetapkan untuk diproses.
“Kekosongan kediaman yang ditawarkan adalah sebanyak 30 unit sahaja sebagai satu inisiatif MAIS membantu pemulihan ekonomi masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MAIS bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci jumlah sebenar permohonan telah diterima pihaknya setakat ini.
Kosmo! hari ini melaporkan prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan mendorong MAIS menawarkan sewaan rumah serendah RM500 sebulan di wismanya di Seksyen 3, di sini.
Sewaan itu terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah bawah RM5,000 dan berkhidmat di Selangor dengan keutamaan kepada pemohon beragama Islam. -KOSMO! ONLINE