PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang akhbar perkembangan Covid-19, hari ini.
Beliau berkata, KKM sudah mengemukakan syor dan cadangan kepada SPR berhubung SOP yang akan diguna pakai pada PRN berkenaan.
Menurutnya, pihaknya turut bersetuju dengan SOP yang dibentangkan dan beliau percaya bahawa jika SOP itu dipatuhi, ia mencukupi untuk mencegah penularan ketara Covid-19 di negeri itu.
“Bagi penduduk Johor berusia 12 tahun ke atas, 80 peratus daripada populasi dewasanya telah menerima suntikan vaksin lengkap.
“Namun, apa yang cuba kita tingkatkan adalah jumlah dewasa di Johor untuk menerima dos penggalak.
“Ketika ini, jumlah peratusan dos penggalak di Johor hanya 63.2 peratus. Justeru, saya mahu liputan dos penggalak ini diperluaskan,” katanya. -KOSMO! ONLINE