PENGARAH Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky yakin dengan kemampuan skuad lelaki negara bertemu Jepun pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 esok.
Rexy menjelaskan, keyakinan itu berdasarkan faktor pengalaman barisan negara berbanding Jepun yang menghantar pemain-pemain muda pada edisi BATC kali ini di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
“Bukan kita merendahkan kemampuan Jepun tetapi kita lebih bagus berdasarkan pengalaman (pemain), jadi ia pastinya akan memberikan kelebihan.
“Saya harap perseorangan dan beregu dapat terus memberikan fokus terbaik untuk kejohanan kali ini. Saya fikir kita mungkin tidak berdepan masalah,” kata Rexy.
Malaysia ketika ini berada pada landasan tepat untuk melangkah ke peringkat separuh akhir sebagai dua pasukan terbaik daripada Kumpulan B selepas terdahulu mudah menewaskan Singapura 5-0.
Lima mata skuad negara dalam aksi pembukaan kelmarin berjaya disumbangkan oleh Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ng Tze Yong, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Leong Jun Hao.
Malaysia dijangka tiada masalah untuk mencatat kemenangan berdasarkan situasi Jepun menghantar pemain muda seperti Minoru Koga, Riku Hatano, Ayato Endo, Yuta Takei, Shuntaro Mezaki, Haruya Nishida, Koshiro Moriguchi dan Koo Takahasi.
Sebagai rekod, skuad lelaki negara pernah menewaskan Jepun 3-0 menerusi Zii Jia, Aaron-Wooi Yik dan Cheam June Wei sewaktu separuh akhir edisi BATC 2022 di Manila, Filipina. – KOSMO! ONLINE