JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang wanita yang bertindak kasar ketika mengutip hutang daripada seorang wanita warga emas, lapor laman berita Suara.com.
Video pendek berdurasi 2 minit 50 saat itu tersebar di aplikasi Whatsapp dan media sosial lain. Kejadian dikatakan berlaku di kawasan gerai jalanan Ngawi, utara Masjid Raya Baiturrahman, daerah Ngawi.
Menerusi gambar yang dimuat naik di laman berita Suaraindonesia.co.id dan dikongsikan laman di Suara.com., wanita itu dilihat menunding jari ke hadapan muka warga emas tersebut.
Pengguna media sosial tidak berpuas hati mengenai situasi yang berlaku apabila nenek tua itu hanya mampu membayar 40,000 rupiah (RM11.75).
Wanita tersebut berkata, warga emas itu sepatutnya membayar hutang sebanyak 80,000 rupiah (RM23.50) sehari dan dia sudah tidak membayar hutang dua kali sebelum ini.
Warga emas berusia 71 tahun itu mengaku bekerja sebagai penjual bebola daging kepada pihak media.
Bagaimanapun, rata-rata masyarakat menggesa pihak berkuasa daerah Ngawi untuk bertindak tegas terhadap peminjam wang secara haram di kawasan tersebut. – Agensi