fbpx

MED4IRN mahu mengarus perdanakan teknologi robotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA – Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) memutuskan untuk membangunkan Pelan Hala Tuju Robotik Negara (NRR) bagi mengarus perdanakan penggunaan teknologi robotik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan itu mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing seterusnya meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara.

“Kepadatan robot di Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2019 adalah 55 unit dan sasarannya adalah 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2030,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat MED4IRN yang julung kali diadakan bagi tahun ini yang mana ia turut dihadiri Menteri-Menteri serta Ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat secara dalam talian.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, MED4IRN juga menyokong konsep Projek Pemangkin (Catalytic Projects) bagi memacu Aspirasi MyDIGITAL.

Beliau berkata, mesyuarat bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek yang sesuai dan memantau pelaksanaan yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

“Projek Pemangkin akan dibiayai oleh sektor swasta dan kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudah cara,” katanya.

Menurut beliau, antara contoh projek pemangkin adalah perubatan pintar yang menyasarkan penubuhan hospital yang menggunakan teknologi 5G bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat.

Selain itu, katanya, adalah Bandar Pintar yang menyasarkan pelbagai kes kegunaan berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan yang lebih bermakna.

Ujarnya, mesyuarat juga mengambil maklum tentang kemajuan dan pencapaian beberapa inisiatif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI