fbpx

Ironi undian jodohkan Malaysia bersama Thailand, Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain B-23 kebangsaan giat menjalani latihan menjelang aksi menentang Laos di Stadium Prince, Phnom Penh hari ini.

KETUA jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Brad Maloney menganggap ‘jodoh’ bersama seteru Asia Tenggara, Thailand dan Vietnam kuat selepas diundi Kumpulan C saingan Piala Asia B-23 2022 yang bakal berlangsung pada Jun depan.

Lebih menarik, skuad muda Harimau Malaya turut diundi bersama juara bertahan, Korea Selatan yang dianggap sebagai pilihan utama pada kejohanan di Uzbekistan nanti.

Kata Maloney, undian tersebut cukup menarik untuk disaksikan kerana ia menjanjikan cabaran tersendiri buat anak-anak buahnya yang ketika ini sedang fokus pada kejohanan Piala AFF B-23 di Kemboja.

“Kami menyaksikan undian itu sebentar tadi dan ia tidak semudah yang disangka kerana kita akan menentang juara bertahan, Korea Selatan.

“Namun, sudah tentu paling menarik adalah pertemuan menentang Thailand dan Vietnam yang saya anggap cukup ironi kerana kita mungkin bertemu mereka pada kejohanan ini (Piala AFF B-23) dan Sukan SEA 2023 nanti,” katanya pada sidang media secara virtual sebentar tadi.

Dalam perkembangan sama, Maloney mahu tumpuan diberikan sepenuhnya oleh pasukan pada aksi Kumpulan B menentang Laos di Stadium Prince, Phnom Penh esok.

“Ini adalah perlawanan pertama kami di Kemboja selepas aksi pertama dibatalkan susulan Myanmar menarik diri. 

“Saya anggap Laos adalah pasukan yang sukar dan ia terbukti ketika kami tidak meraih kemenangan mudah sewaktu kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia tahun lalu dan saya mahu pemain berwaspada sepenuhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI