HANOI – Seorang lelaki dari Vietnam menjadi sensasi internet kerana tabiatnya yang terlalu obses dengan emas, lapor laman Oddity Central, kelmarin.
Obsesi Tran Duc Loi, 39 itu sehingga sering memakai berkilo-kilo barang kemas pada badannya selain memandu kereta dan motosikal yang disadur dengan logam berharga itu.
Duc Loi yang menjalankan perniagaan menjual cicak Amerika Selatan sebagai haiwan peliharaan mewah, mula mengamalkan gaya hidup itu sejak tiga tahun lepas.
Dia percaya bahawa tindakan itu dapat menambah tuah dan kemakmuran hidup selain meluaskan potensi dalam bidang perniagaan.
“Pada mulanya, saya hanya memakai beberapa barang kemas dan semakin hari, bilangannya semakin bertambah.
“Walaupun mula berasa berat kerana memakai banyak emas, saya sudah semakin membiasakan diri,” katanya.
Menurut Duc Loi, dia memakai hampir 2 kilogram barang perhiasan emas setiap kali keluar dari rumah.
Ia termasuk seutas rantai berbentuk naga seberat 250 gram, 10 bentuk cincin emas yang besar, seutas gelang tangan tebal dan seutas jam tangan bersadur emas.
Selain itu, dia juga mempunyai sebuah kereta jenama Lexus selain dua buah motosikal yang didakwa disadur dengan emas. – AGENSI