PETALING JAYA – Seorang lelaki dipercayai anak pemilik kereta jenis Perodua Myvi yang tular selepas memasuki kawasan perkuburan tampil membuat penjelasan hari ini.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, Syafiq Sidek berkata, kejadian berlaku disebabkan ibunya mengalami hipoglisemia kerana menghidap kencing manis.
“Saya memohon seribu kemaafan kepada semua waris kubur yang telah rosak. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas segala kerosakan dan akan membaik pulih kubur seperti asal.
“Sebenarnya ibu saya alami ‘hipo’ (kurang gula dalam darah) kerana mengidap kencing manis dan berpuasa hari ini,” katanya.
Menurut pemuda itu, ibunya secara tiba-tiba tidak sedarkan diri dan tertekan pedal minyak ketika mahu membuat pusingan U.
Susulan itu, Syafiq memaklumkan ibunya kini trauma dan masih bersedih atas kehilangan suami akibat Covid-19 baru-baru ini.
“Alhamdulillah ibu saya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kini, saya sudah berada di balai polis untuk menyelesaikan kes ini,” jelasnya.
Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial yang memaparkan sebuah kereta Perodua Myvi berada di dalam kawasan tanah perkuburan Islam di Senawang, Seremban. – KOSMO! ONLINE