PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 ke hospital sejak tujuh hari lalu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dalam tempoh tujuh hari lalu, bilangan kes positif Covid-19 meningkat sebanyak 109 peratus.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit Covid-19 turut meningkat sebanyak 42 peratus.
“Terdapat juga kes Covid-19 kategori 1 dan 2 yang tidak serius, namun mereka dimasukkan ke hospital sebagai langkah awal bagi tujuan pemantauan dan bagi mencegah risiko jangkitan menjadi lebih teruk.
“Kes-kes yang dimasukkan ini adalah kes yang berisiko tinggi seperti ada kes pesakit yang mempunyai penyakit kritikal dan berusia 60 tahun ke atas.
“Melihat kepada situasi ini, kemasukan ke hospital oleh kes-kes Covid-19 pastinya akan meningkat, selari dengan peningkatan bilangan kes harian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE