fbpx

IoT urus kebersihan tandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MELALUI sistem IoT, pihak pengurusan boleh menggunakan data yang dikumpul untuk mengurangkan kos dengan lebih baik.

SEJAK sedekad lalu, internet menjadi asas kepada perkembangan dalam pelbagai teknologi dan inovasi.

Pelbagai pihak menggunakan kemudahan itu bagi memperkenalkan sistem yang dibangunkan kepada pengguna.

Pihak pengurusan pusat beli-belah Sunway Pyramid juga tidak melepaskan peluang untuk berbuat demikian dengan memperkenalkan sistem Internet Tandas atau Internet of Toilet (IoT).

Ia menyaksikan pusat beli-belah itu beralih daripada sistem bilik air konvensional kepada pengurusan lebih efisien untuk membekalkan pengalaman lebih terhubung lagi lancar buat pengguna dan juga penyelia.

Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada langkah pihak terbabit untuk mentransformasikan pelbagai aspek pusat beli-belah secara digital yang disusuli selepas usaha digitalisasi dilaksanakan sebelum ini.

Pusat beli-belah itu sebelum ini menjadi yang pertama di Lembah Klang memperkenalkan Parkir Pintar
Sunway (Sunway Smart Parking) bagi sistem tanpa tiket dan tanpa tunai, serta Hab Jalinan Pengguna (Customer Engagement Hub) untuk menangani keperluan pengguna masa kini melalui pelbagai saluran walau di mana jua mereka berada.

Menerusi kerjasama dengan pakar prasarana berpangkalan di Singapura, Rigel Technology, sistem tandas pintar baharu ini akan membantu mengoptimumkan prestasi dan efisiensi tandas komersial dengan memanfaatkan sistem IoT menerusi pengumpulan data.

SISTEM IoT memberi manfaat dari segi pengalaman pengguna, kelestarian dan menjimatkan kos.

Sistem yang diperkenalkan oleh Rigel ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Singapura merupakan satu-satunya lokasi yang mempunyai kemudahan berkenaan.

Bagi kerja-kerja penyelenggaraan tandas konvensional, penyelia berdepan dengan cabaran seperti prestasi kebersihan serta pelbagai kerosakan yang mungkin tidak dapat disampaikan dengan efektif kepada juruteknik, lantas menjurus kepada pengalaman kurang menyenangkan buat pengguna.

Masalah ini boleh diatasi dengan sistem IoT yang akan memberi manfaat dari segi pengalaman pengguna, kelestarian, selain menjimatkan kos.

Dengan meletakkan kelestarian sebagai teras utama bagi perniagaan serta komunitinya, pihak terbabit giat mencari kaedah inovatif baharu seperti bertaraf tinggi buat pelanggan, lantas mereka mengambil bahagian dalam pelaksanaan teknologi baharu tersebut yang akan mula digunakan di Sunway Pyramid.

Pengurus Besar Sunway Pyramid, Jason Chin berkata, pihaknya sejak sekian lama menghargai konsep bandar pintar serta perbandaran lestari.

Menurutnya, langkah mereka ke sistem IoT memenuhi konsep yang mencakupi sebuah visi holistik, turut
melangkaui kepentingan yang bukan sahaja berpaksikan kemesraan alam semata-mata.

“Lagi satu, aspek terletak dalam penaiktarafan pengalaman buat para pelanggan yang diterjemahkan kepada pembekalan kemudahan terbaik serta pengurusan fasiliti berprestasi tertinggi.

“Itulah harapan kami dengan sistem IoT ini,” tegasnya.

Tambahnya, pengenalan IoT telah membolehkan tenaga pengurusan pusat beli-belah tersebut menyingkap fungsi dan prestasi tandas melalui sensor dan monitor khas yang dipasang pada barangan seperti tong sampah, dispenser sabun dan tisu.

Selain itu, ia turut merangkumi kelengkapan air utama seperti pili, ruang urinari dan injap tekan, selain pemantauan persekitaran seperti kualiti udara, kelembapan suhu, kaunter individu dan panel maklum balas interaktif.

Terdapat juga sensor amonia yang akan mengesan kewujudan bahan tersebut untuk mencegah bau busuk dalam bilik air.

“Maklumat yang dikumpul ini akan dihantar ke pelayan awan yang boleh diakses melalui platform web dan aplikasi pintar mudah alih untuk memudahkan pengurusan dan penjejakan.

“Sebagai contoh, tenaga pengurusan dapat memantau dengan lebih jelas prestasi bilik air, penggunaan air serta data penting lain yang membolehkan mereka mengesan sebarang anomali atau kerosakan untuk ditangani dengan segera sebelum situasi berkenaan menjadi lebih teruk.

“Ini mengurangkan tempoh gendala dan kos, selain menjimatkan air demi hasil yang lebih lestari,” jelasnya.

Dengan mengambil pendekatan pintar ini, Sunway Pyramid juga bermatlamat untuk mengoptimumkan tenaga kerja bagi memaksimumkan produktiviti.

Jason menambah, menerusi aplikasi mudah alih IoT misalnya, tukang cuci akan dimaklumkan tentang bilik tandas yang memerlukan perhatian segera dari segi kebersihan atau mengenai bahan- bahan tertentu yang perlu diisi semula, serta diberi penugasan dengan serta-merta.

“Kami sedar, inovasi perlu diteruskan untuk menunaikan keperluan pelanggan yang pelbagai.

“Daripada Sunway Smart Parking hingga Customer Engagement Hub dan Sunway eMalls, anjakan digitalisasi, inovasi dan teknologi kami baru sahaja bermula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI