PETALING JAYA – Pelakon Shima Anuar berkongsi khabar gembira apabila mengumumkan sedang hamil anak ketiga yang kini mencecah usia sekitar dua bulan.
Disebabkan hamil, Shima atau nama lengkapnya Noor Hashima Anuar, 31, terpaksa membuat keputusan membatalkan semua tawaran berlakon yang diterima demi memikirkan keselamatan diri serta bayi di dalam kandungan.
“Doakan saya dan bayi supaya sihat, selamat dan dipermudahkan segala urusan. Saya juga ingin memohon maaf kepada pihak produksi kerana terpaksa membatalkan semua tawaran berlakon yang diberikan kepada saya.
“Insya-Allah ada rezeki kita berjumpa lagi,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram.
Dalam hantaran tersebut, pelakon filem Highland Tower itu turut berkongsi beberapa keping foto alat ujian kehamilan yang menunjukkan keputusannya adalah positif (hamil).
“Saya doakan yang terbaik untuk semua. Amin,” tulis Shima.
Sekadar info, Shima sebelum ini pernah berkongsi pengalamannya ketika bersalin secara pembedahan caesarean (czer) sebanyak dua kali ketika melahirkan anak sulung dan keduanya.
Perkongsian tersebut dibuat sebagai tanda sokongan terhadap penyanyi dan juga pelakon, Ayda Jebat apabila dikecam kerana memilih untuk bersalin secara pembedahan berbanding normal.
“Banyak mitos tentang ‘czer’ sebenarnya. Tapi bagi saya, alhamdulillah semuanya okay. Bersalin secara pembedahan pun ada sakitnya juga. Bersalin secara pembedahan bukan seperti membuang air besar.
“Alhamdulillah, dua kali ‘czer’, kedua-dua anak saya dapat minum susu badan. Susu pun banyak juga,” ujarnya.
Shima mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Mohd. Solih Toha pada 8 April 2017 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Marian Sophia, 3, dan Mikhael Imaan yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE