IPOH – Ada laporan terdapat guru di negeri ini mengambil keputusan meletak jawatan sebagai pendidik disebabkan tekanan kerana pandemik Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai perkara tersebut ekoran guru-guru hilang tumpuan disebabkan pandemik.
Menurut Saarani, beliau mengakui terkejut apabila menerima berita berkenaan memandangkan guru merupakan ejen perubahan masyarakat.
“Semasa saya pergi ke Gerik, pegawai pendidikan daerah melaporkan ada guru-guru hilang fokus nak pencen awal. Misalnya yang berumur 40 tahun.
“Cikgu adalah ejen, pemimpin dan pemberi motivasi, jadi cikgu tidak boleh ada ayat itu (berhenti sebab Covid-19) dia mesti mengajak masyarakat melawan Covid. Itu semangat yang saya hendak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir pada Majlis Pelancaran Smart G-Tuisyen dan Program Makanan Percuma Pelajar Kelas Peperiksaan 2021 di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Hotel Casuarina, Meru, di sini, hari ini.
Ketika ditanya berapa ramai guru yang memohon untuk berhenti disebabkan pandemik Covid-19, Saarani memaklumkan pihaknya tidak mempunyai jumlah sebenar. – KOSMO! ONLINE.