SYDNEY – Suruhanjaya Kemalangan Pengangkutan Australia (TAC) mencipta model robot yang direka untuk menjadi satu-satunya ‘manusia’ yang boleh selamat jika terlibat dalam kemalangan kereta’, lapor akhbar The Sun, kelmarin.
Arca manusia mutan diberi nama Graham itu mempunyai tengkorak dengan zon renyuk, dada berbentuk tong dengan tisu lemak mengelilinginya dan beg udara individu di antara rusuknya.
Meskipun dia mungkin tidak begitu menarik untuk dilihat, Graham mungkin lelaki paling selamat di Bumi.
Graham dicipta untuk mempunyai semua bahagian badan yang diperlukan oleh manusia untuk selamat jika mengalami pelanggaran berimpak tinggi tanpa teknologi keselamatan dalam kenderaan.
Selain kepala besar dengan zon renyuk, dia juga tidak mempunyai leher, hidung cengkung, beg udara di antara setiap rusuk dan anggota badan yang boleh dibengkokkan ke setiap arah.
Manusia mutan ini diperbuat daripada gentian kaca, silikon, rambut manusia dan dicipta oleh artis yang berpangkalan di Melbourne, Patricia Piccinini.
“Kereta telah berkembang jauh lebih pantas daripada manusia dan Graham membantu kami memahami mengapa kami perlu menambah baik setiap aspek sistem jalan raya untuk melindungi diri kita semua daripada kesilapan diri sendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ,TAC Joe Calafiore.
Pencipta Graham, Piccinini, berkata reka bentuknya membolehkan orang ramai merasai apa yang cuba disampaikan dan berasa empati dengannya. – Agensi