BELGRADE – Pemain No.1 dunia, Novak Djokovic mengesahkan dirinya bukan anti vaksin meskipun bersedia untuk tidak menyertai mana-mana kejohanan tenis antarabangsa termasuk bertaraf Grand Slam sekiranya dipaksa untuk mengambil vaksin Covid-19.
Sebagai rekod, Djokovic telah mencipta sensasi tersendiri bulan lalu apabila hadir ke Melbourne untuk menyertai Terbuka Australia kerana memiliki alasan untuk tidak mengambil vaksin sebelum ‘dihalau’ pulang ke tanah airnya selepas rayuannya ditolak mahkamah.
Kata Djokovic, pendiriannya untuk terus menolak suntikan vaksin Covid-19 kekal teguh meskipun kredibiliti mungkin tercalar jika gagal mempertahankan kejuaraan bertaraf Grand Slam seperti Terbuka Perancis dan Kejuaraan Wimbledon nanti.
“Saya tidak mempunyai masalah untuk tidak menyertai mana-mana kejohanan yang mewajibkan atlet mengambil vaksin dan saya tetap kekalkan pendirian saya meskipun ia kejohanan bertaraf Grand Slam.
“Secara jujur, saya bukanlah seorang anti vaksin seperti yang mereka katakan tetapi saya menyokong hak asasi manusia yang masa setiap individu memiliki pilihan untuk memilih apa yang perlu dilakukan dalam hidupnya.
“Malah, saya faham apa yang sedang dilakukan di peringkat global dalam usaha menyekat penularan virus Covid-19 dan saya harap ia akan berakhir secepat mungkin supaya apa yang berlaku di Australia tidak berulang lagi,” kata pemain berusia 35 tahun itu.
Djokovic sebelum ini dianggap sebagai salah seorang atlet tenis terbaik sepanjang zaman selepas menjuarai 20 kejuaraan bertaraf Grand Slam dalam kariernya tetapi rekod itu dipintas pemain sensasi Sepanyol, Rafael Nadal yang kini memiliki gelaran ke-21 pada Terbuka Australia yang lepas. – AGENSI