PEMAIN perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman bertekad untuk tampil lebih bagus sekiranya diturunkan pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 esok.
Nurshuhaini, 18, meluahkan keyakinan itu selepas mempelajari pengajaran berguna ketika tewas 11-21, 19-21 kepada perseorangan kedua India, Ashmita Chaliha di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam kelmarin.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan rentak Malaysia yang berjaya menewaskan India 3-2 dan mara ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan Y selepas terdahulu turut menang 3-2 ke atas Jepun.
“Turun sebagai perseorangan kedua sedikit memberikan tekanan kepada saya. Selain itu, saya juga tidak dapat bermain corak sebenar kerana terikut gaya permainan pemain lawan.
“Mungkin hari ini (kelmarin) saya kurang dari segi ketahanan permainan. Kalau diberi peluang saya akan cuba yang terbaik dan perbaiki permainan selepas ini,” kata Nurshuhaini.
Pemain dari Rawang, Selangor itu bermula baik pada kempen BATC kali ini apabila berjaya mencipta kejutan sensasi dengan kemenangan 21-16, 22-20 ke atas pemain Jepun, Hina Akechi pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, kecemerlangan itu gagal diteruskan dalam aksi kedua menentang India kelmarin yang turut menyaksikan perseorangan ketiga negara, Myisha Mohd. Khairul tewas 16-21, 15-21 kepada Tara Shah.
Sebagai rekod, skuad badminton wanita yang layak secara merit ke Piala Uber 2022 pada Mei depan, akan berdepan sama ada Jepun, India atau Korea Selatan di peringkat separuh akhir esok. – KOSMO! ONLINE