BARCELONA – Gergasi Sepanyol, Barcelona sudah tentu mahu mengelak maruah mereka terus diaibkan selepas terpaksa menerima hakikat beraksi pada Liga Europa buat kali pertama dalam sejarah kelab tersebut.
The Catalans tersingkir ke pertandingan elit kedua Eropah selepas gagal melayakkan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini dan merupakan kali pertama berlaku dalam tempoh 17 tahun.
Namun, tugas sukar dilihat tetap menanti Barcelona selepas hilang ramai pemain utama kerana masalah kecederaan menjelang aksi playoff menentang jaguh Itali, Napoli di Stadium Camp Nou awal pagi esok.
Begitupun, ketua jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez percaya masalah itu mampu diatasi kerana yakin dengan kemampuan pemainnya terutama tiga muka baharu iaitu Pierre-Emerick Aubameyang, Adama Traore dan Ferran Torres.
“Napoli adalah lawan yang setaraf dengan kualiti Liga Juara-Juara. Ia bermakna kami telah diundi bertemu pasukan paling sukar dalam playoff Liga Europa ini.
“Saya tidak gentar, sebaliknya teruja untuk bersaing dengan Napoli kerana aksi ini mampu menjadi satu penghormatan buat mendiang Maradona.
“Kami akan memberikan prestasi sehabis baik kerana misi kami adalah menjuarai gelaran Liga Europa dan kembali layak ke Liga Juara-Juara secepat mungkin,” katanya.
Barcelona yang sudah mengharungi 13 aksi tanpa kalah dalam semua kejohanan sejak 9 Disember tahun lalu, mempunyai rekod cemerlang ke atas Napoli sepanjang enam pertemuan antara kedua-dua pasukan.
Kali terakhir bertemu menyaksikan Barcelona menang 3-1 ke atas Napoli pada aksi timbal balik peringkat suku akhir Liga Juara-Juara musim 2019/2020.
–AGENSI