fbpx

Anak teresak-esak, bapa dipenjara tujuh tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosli (kanan) diiringi anggota polis penjara selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

MELAKA – Suasana di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bertukar pilu apabila seorang kanak-kanak menangis teresak-esak selepas bapanya dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun atas kesalahan dadah.

Tertuduh, Rosli Md. Isa, 55, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Nariman Badruddin sejurus dia membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, bapa tujuh anak itu didapati telah memberikan diri sendiri dadah jenis morphine yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 10.30 pagi di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, 15 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39C(1) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan juga dikenakan sebat tidak lebih daripada tiga sebatan.

Bapa tujuh anak itu juga mempunyai dua rekod terdahulu di bawah seksyen sama dan telah dikenakan dua perintah pengawasan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Melaka pada 11 November 2016 dan 13 Julai 2017.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan mempunyai tujuh orang anak, selain merupakan orang kelainan upaya (OKU kaki) dan bekerja sebagai penjaga parkir.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira tertuduh disifatkan tidak insaf meskipun pernah dijatuhkan hukuman sebanyak dua kali sebelum ini atas kesalahan sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun dari tarikh ditangkap 15 Februari 2021 terhadap tertuduh dan tidak dikenakan sebat atas faktor usia.

Selepas selesai dijatuhi hukuman itu, anak bongsu tertuduh dipercayai berusia 13 tahun dilihat menangis teresak-esak sambil ditenangkan ibunya yang turut hadir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI