fbpx

2 lelaki ditahan terlibat kes samun kedai serbaneka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar memaparkan salah seorang suspek yang cuba melakukan samun di sebuah kedai serbaneka.

PETALING JAYA – Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dengan kes samun kedai serbaneka di sekitar Kelana Jaya di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 40 tahun berkaitan satu kejadian samun pada Isnin lepas.

Menurutnya, kira-kira pukul 1.30 petang pada hari kejadian, mangsa sedang bekerja di kaunter bayaran kedai serbaneka yang terletak di kawasan Kelana Jaya.

“Mangsa telah didatangi seorang lelaki warga tempatan yang berpura-pura sebagai pelanggan dan ingin membuat pembayaran.

“Semasa di kaunter bayaran, tiba-tiba suspek telah mengacukan sebilah pisau kepada mangsa dan mengarahkan mangsa untuk menyerahkan wang kepadanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, bimbang dengan keselamatan diri, mangsa telah menyerahkan wang tunai dari dalam mesin tunai kepada suspek berjumlah sebanyak RM500 manakala suspek kemudian bertindak melarikan diri setelah menerima wang tersebut.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya telah menahan dua lelaki warga tempatan berusia 23 hingga 34 tahun di kawasan Kelana Jaya serta Kuala Lumpur semalam.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek, polis merampas pakaian suspek serta sebilah pisau yang disyaki digunakan semasa melakukan jenayah samun,” ujarnya.

Menurutnya, hasil siasatan awal terhadap kedua-dua suspek telah mendedahkan penglibatan mereka di dalam kes samun berkawan tanpa senjata api yang menyasarkan kedai serbaneka di sekitar kawasan Kelana Jaya dan pihak polis percaya telah menyelesaikan tiga kes samun kedai serbaneka di kawasan ini.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kes jenayah lampau dan rekod kes penyalahgunaan dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkawan tanpa senjata api,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI