fbpx

Watak terkait kisah sendiri, Siti Saleha okey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI SALEHA

PETALING JAYA – “Saya sentiasa bersikap profesional dan tolak tepi kisah peribadi.”

Itu pengakuan pelakon jelita, Siti Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd. Baharum yang diberi tanggungjawab memainkan peranan seorang isteri dan ibu berhadapan masalah rumah tangga dalam drama terbaharu, Love In Lockdown.

Kata Saleha, 32, memegang watak Doktor Suzana dalam drama berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap dirinya.

“Betul ada sedikit terkait dengan kisah peribadi saya.

“Bagaimanapun seperti mana-mana tawaran berlakon, saya akan letakkan sepenuh jiwa untuk menjayakan sesebuah watak,” katanya sambil meluahkan rasa terharu atas setiap  sokongan yang diberikan kepadanya.

Siti Saleha menyifatkan takdir tertulis (perceraian) untuknya adalah aturan terbaik daripada Tuhan.

Mengulas lanjut tentang drama tersebut, Saleha berasa amat teruja kerana diberi tanggungjawab sebagai seorang petugas barisan hadapan ketika berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19.

Saleha menjadikan watak Meredith dalam drama popular, Grey’s Anantomy sebagai inspirasi ketika berada di set penggambaran.

“Watak ini adalah sesuatu yang saya hendak cuba kerana saya boleh rasa bagaimana menjadi ‘frontliner’ yang bekerja tanpa henti ketika situasi pandemik.

“Sering kali melakukan ujian calitan untuk bekerja, jadi serba sedikit memberi gambaran kepada saya tentang watak ini.

“Selain itu saya melihat bagaimana penatnya watak Meredith yang merupakan seorang doktor sebagai salah satu contoh.

“Kekuatan watak Doktor Suzana dalam cerita ini mungkin tidak sama seperti diri saya, tetapi sifat sebagai seorang yang sangat suka dengan kerjanya adalah gambaran tentang diri saya,” katanya.

Selain Saleha, Love In Lockdown turut membariskan pelakon handalan lain seperti Shah Iskandar, Julia Farhana dan pelakon baharu, Sara Mack.

Drama rantaian berkenaan bakal ditayangkan bermula 20 Februari menerusi laman penstriman, SOOKA.

Terdahulu, Saleha sah bercerai dengan bekas suami, Ahmad Lutfi Azhar pada Januari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Klang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI