PARIS – Perlumbaan Formula Satu (F1) dilihat semakin mencabar apabila saingan Sprint Race diteruskan dengan melibat penambahan bonus kutipan mata bagi setiap pelumba sebelum memulakan cabaran utama pada setiap Ahad.
Perlumbaan sprint atau dikenali sebagai pecut ini diperkenalkan pada tahun lalu, melibatkan perlumbaan 100 kilometer yang mengambil masa sekitar 25-30 minit.
Pada saingan 2022 nanti, tiga perlumbaan pecut akan diadakan di Grand Prix Emilia Romagna, Austria serta Sao Paulo dan apa yang menarik adalah lapan pelumba terpantas akan meraih mata, manakala juara akan menerima maksimum lapan mata.
Pelumba kedua terpantas bakal meraih tujuh mata, tempat ketiga enam mata dan seterusnya lima lagi pelumba akan turut meraih mata.
Sebelum ini, hanya tiga pelumba teratas yang meraih mata tambahan tersebut dan pastinya perubahan tersebut bakal menyajikan saingan lebih mencabar terutama bagi perebutan gelaran dunia.
“Tiga perlumbaan sprint telah dicadangkan bagi musim 2022 dan telah diluluskan saingan tersebut dengan menggabungkan beberapa kemas kini kepada format berdasarkan maklum balas peminat, media dan pasukan.
“Langkah mengadakan perlumbaan pecut ini adalah wajar dan dapat memberi manfaat positif bagi sukan ini.
“Jumlah perlumbaan pecut pada 2022 dilihat masih relevan jika melihat tekanan yang dihadapi pasukan-pasukan pada musim ini, seiring dengan perubahan besar pada jentera dan sebagainya,” kata Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) semalam. – AGENSI