SYARIKAT pengeluar telefon pintar Vivo secara rasminya memperkenalkan peranti terbaharu mereka iaitu V23e 5G yang dilengkapi dengan kamera hadapan ultra jelas yang membolehkan fotografi swafoto terbaik dihasilkan.
Peranti itu juga dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dipertingkatkan.
Ia menawarkan gabungan fungsi dan gaya sempurna dan membawa pengalaman swafoto ke tahap yang lebih tinggi.
Dalam hal ini, Vivo V23e 5G menggabungkan sistem kamera hadapan termaju dengan teknologi terkini seperti auto fokus dan ciri potret malam.
Ini bagi membolehkan gambar dan video yang menakjubkan dapat dihasilkan.
Dalam pada itu, dari segi kejelasan, peranti ini dilengkapi dengan kamera hadapan AF 44MP yang membolehkan pengguna merakam swafoto yang sangat jelas dengan fokus tajam tanpa mengambil kira berapa jarak subjek yang sepatutnya.
Peranti ini turut dilengkapi dengan tiga set kamera belakang 50MP+8MP+2MP dan memenuhi pelbagai keperluan fotografi pada masa sekarang.
Berbicara tentang rekaan, peranti terbaharu ini mempunyai badan ultra langsing dan menjadikannya padat, namun ringan dengan berat hanya 172 gram.
Peranti ini berukuran 6.44 inci dan menampilkan paparan AMOLED dan memberikan pengguna pengalaman visual yang terbaik.
Sementara itu, telefon pintar ini juga dilengkapi dengan bateri berkapasiti 4,050mAh dan disertakan dengan pengecasan pantas 44W untuk memberikan pengalaman lebih menarik buat pengguna.
Melalui pengecasan pantas itu, ia mampu memberi kuasa kepada peranti sehingga 69 peratus dalam masa 30 minit sahaja.
Di samping itu, peranti ini dikuasakan oleh cipset terkini daripada MediaTek Dimensity 810.
Ia menampilkan reka bentuk bersepadu dengan litar yang lebih stabil dan penggunaan kuasa lebih rendah berbanding sebelum ini.
Telefon pintar terbaharu Vivo ini didatangkan dengan memori RAM 8GB+4GB dengan penambahan RAM 2.0 baharu yang membolehkan memori 4GB digunakan sebagai RAM apabila diperlukan.
Bagi storan dalaman, peranti ini tersedia dengan memori yang bersaiz 128GB.