KUANTAN – Seorang suri rumah tidak menyangka keuntungan awal yang diperoleh daripada kerja sambilan yang dilakukan hanyalah umpan untuk dia membuat lebih banyak pelaburan sebelum mangsa ditipu sehingga mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.
Itu nasib yang menimpa wanita berusia 35 tahun dari Raub yang terpedaya dengan taktik sindiket penipuan yang menawarkan kerja sambilan di sebuah platform beli-belah dalam talian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula 11 Februari lalu apabila mangsa menerima tawaran kerja sambilan berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa dijanjikan pulangan lumayan dengan menyelesaikan tugasan diberikan iaitu menekan butang ‘suka’ pada iklan jualan di platform berkenaan selain membuat bayaran tertentu bagi mendapatkan keuntungan.
“Pada keesokkannya mangsa telah membuat dua tugasan dengan membuat bayaran sebanyak RM510 ke akaun yang diberikan suspek dan telah mendapat keuntungan sebanyak RM124 daripada tugasan itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd. Wazir berkata, mangsa sekali lagi menerima mesej daripada suspek untuk melakukan tugasan seterusnya sebelum mangsa membuat bayaran sebanyak RM35,000 melalui enam transaksi ke tiga akaun berbeza.
Katanya, selepas membuat bayaran berkenaan mangsa tidak menerima sebarang bayaran berserta keuntungan dan suspek juga gagal dihubungi.
Ujarnya, mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE