PETALING JAYA- Rakyat Malaysia layak menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih berdaftar khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu menerapkan konsep ‘fikir sebelum undi’ bagi memilih pemimpin terbaik untuk meneraju negara.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, konsep fikir sebelum undi itu penting bagi mewujudkan kestabilan politik selain tidak mengulangi episod pada PRU-14 yang lalu.
“Kita rakyat Malaysia kena berfikir dan undi, bukannya undi baru fikir kerana kita menentukan pemimpin manakah yang akan diberikan kepercayaan.
“Jika kita ikut emosi, ia akan melahirkan pemimpin yang beremosi. Kalau (pengundi) ada sentimen, kita lahirkan pemimpin bermain sentimen dan sekiranya tidak jujur, kita lahirkan pemimpin pecah amanah,” katanya dalam satu program bual bicara radio di sini semalam.
Susulan itu, katanya, pengundi perlu membuat keputusan terbaik untuk memilih pemimpin berkualiti bagi memulihkan kestabilan politik sekali gus memacu semula ekonomi negara.
“Secara kasarnya, ekonomi negara belum lagi pulih memandangkan Malaysia berdepan pelbagai cabaran termasuklah pertukaran kerajaan dan Covid-19 menyebabkan situasinya tidak menentu.
“Sebagai contoh, pada 2017, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan sebanyak 5.8 peratus sebelum menjadi 4.8 peratus (2018), 4.3 peratus (2019), -5.6 peratus (2020) seterusnya tiga peratus setakat sembilan bulan pertama 2021,” ujarnya.
Dalam pada itu, Johari berkata, usaha memulihkan ekonomi negara memerlukan politik yang stabil bagi menarik kedatangan pelabur ke Malaysia.
“Kalau politik tidak stabil, negara ini bukanlah menjadi keutamaan pelabur. Jika kita lihat di Indonesia, mereka ada banyak pelabur kerana tidak bercakap tentang politik selepas Pertandingan Presiden selesai.
“Hal politik akan dikatakan ketika Pertandingan Presiden sahaja, selepas itu, dalam tempoh lima tahun fokus diberikan kepada hal ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE