PETALING JAYA – Absolut Event & Management Sdn. Bhd. (Absolut Event & Management) prihatin terhadap nasib peniaga kecil yang mahu bangkit berniaga selepas terkesan daripada impak pandemik Covid-19 menyediakan dana pinjaman khusus kepada kumpulan tersebut untuk menyertai festival raya anjuran syarikatnya.
Pengarah syarikat, Ben Ali berkata, pelan pembayaran pinjaman secara ansuran untuk menyertai festival itu dilihat dapat membantu peniaga kecil membeli stok barangan, sekali gus menjadikan festival raya itu sebagai platform untuk mereka menjana pendapatan.
Menurutnya, penganjuran festival raya yang dipercayai terbesar selepas pandemik itu akan diadakan tanpa henti selama 66 jam bermula 22 April tahun ini bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
“Kami menjangkakan satu juta orang berkunjung ke festival raya kerana ia bakal menjadi tarikan popular masyarakat untuk membuat persiapan hari raya setelah dua tahun kita semua beraya dalam suasana yang suram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan program yang dijayakan bersama My Events International Sdn. Bhd serta MITEC di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ben menerangkan, harga lot jualan adalah serendah RM2,800 untuk satu tapak dan ia terbuka kepada semua segmen perniagaan seperti makanan dan minuman, pakaian dan produk kecantikan serta produk penjagaan kesihatan.
“Kami juga akan membawakan Absolut Food Festival berskala mini di bawah satu bumbung dengan pengenalan konsep atas bumbung (rooftop) yang membolehkan pengunjung berbuka dan bersahur secara santai selain menggunakan kemudahan seperti surau,” ujarnya.