AMPANG – Tindakan cuai seorang pemandu melanggar lampu isyarat mengundang padah apabila mengakibatkan kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal sehingga tercampak ke dalam longkang di Taman Pandan Jaya, hari ini.
Dalam kejadian berkenaan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 9.22 pagi.
Menurut Pegawai Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Ameran Muda, pihaknya tiba di lokasi yang terletak sejauh 3.8 kilometer pada pukul 9.28 pagi.
“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha R6 dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios.
“Mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Amir Hazim Mat Taha, 33, telah tercampak ke dalam longkang sedalam tiga meter di bahu jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan Pandan Jaya,” katanya.
Sementara itu, Ameran Muda menjelaskan anggota bertugas telah berjaya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan ‘stretcher'(pengusung) serta membuat pemeriksaan ke atasnya.
“Mangsa disyaki mengadu sakit di bahagian pinggul dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi satu minit di laman sosial memaparkan tindakan seorang pemandu merempuh sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran SK Pandan Jaya. – KOSMO! ONLINE