fbpx

Peniaga tertunggak bil elektrik RM4,860 ditipu kontraktor palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MELAKA – Seorang peniaga kopitiam rugi RM4,860 selepas ditipu seorang lelaki menyamar sebagai kontraktor yang kononnya akan membuat pemotongan bekalan elektrik, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, mangsa yang berusia 28 tahun menerima panggilan daripada suspek pukul 1.20 tengah hari.

Katanya, suspek kemudian memaklumkan kononnya akan membuat pemotongan bekalan elektrik di kedai kopitiam itu susulan mempunyai tunggakkan bil sebanyak RM4,860.

“Mangsa memberitahu, dia tidak dapat membuat bayaran kerana sedang sibuk dengan urusan lain dan tidak mempunyai masa.

“Suspek kemudian menawarkan kepada mangsa untuk membantunya membuat pembayaran bil tertunggak dengan memasukkan amaun RM4,860 ke dalam akaun peribadinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa tanpa rasa curiga telah membuat transaksi ke dalam akaun Maybank diberikan suspek pada hari sama.

“Suspek tidak mengesyaki apa-apa kerana premis tersebut memang mempunyai tunggakkan dan suspek berjanji akan memberikan resit pembayaran. Sehingga kini (laporan telah dibuat) mangsa masih tidak menerima resit tersebut,” katanya.

Katanya, hasil semakan, nombor akaun yang digunakan suspek telah terlibat dalam empat kes lain yang menggunakan modus operandi sama dan kes itu kini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI