PETALING JAYA – Keinginan pelakon popular untuk menjayakan watak impiannya, iaitu seorang askar mendapat respon daripada pengarah Jinggo.
Jinggo yang juga suami kepada Shiela Rusly meletakkan syarat buat pelakon Nazim andai mahu merealisasikan watak impiannya sekali gus keluar daripada pandangan skeptikal, hanya mampu membawa watak jambu dalam lakonan.
Jelas Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya, 56, andai Nazim mahu membuat kelainan, pelakon itu perlu bersedia berkorban termasuk memotong rambut dan beraksi seperti seorang askar yang sebenar.
“Saya boleh jadikan kamu askar tetapi ada dua syarat. Kamu nak buat kelainan dalam hidup sebagai seorang artis, tetapi masih berkira, itu tidak boleh, ini tidak boleh.
“Potong rambut tidak boleh, panas tidak boleh, panjat, masuk sungai, kotor dan masuk selut tidak boleh tapi nak buat kelainan sebagai artis, tetapi semua tidak boleh,” tulis Jinggo di Instagramnya malam tadi.
Tambah Jinggo, andai Nazim mahu membawakan watak seorang askar dan berlakon di kem askar secara automatik dia perlu bersedia untuk menjadi seperti seorang askar.
Hal ini kerana, membawakan watak badan beruniform seperti tentera yang menjaga ketenteraman negara dan dihormati oleh orang awam berbeza dengan watak-watak lain.
“Bila kamu masuk kem, kamu kena jadi seperti askar betul-betul. Jangan cakap saya pelakon dan tugas saya melakonkan watak serta tidak mungkin jadi askar.
“Sebab askar Para Pandora sebenar akan cakap, baju uniform yang awak pakai adalah lambang maruah unit kami, tidak bersedia sila buka sekarang.
“Itulah yang Tok Sidang (Jinggo) tidak boleh nak jawab apabila dipanggil menghadap pengawai memerintah. Bagaimana Nazim adakah kamu bersedia?,” soal Jinggo.
Membalas kenyataan Jinggo dalam ruangan komen, Nazim yang dilihat sering membawa watak anak orang kaya dalam drama menahut cabaran tersebut dan bersedia untuk melakukan pengorbanan mengikut tuntutan watak termasuklah watak askar.
“Apabila saya sebagai pelakon mengimpikan sesuatu watak secara spesifik, maksudnya ia lahir daripada keinginan jiwa sendiri.
“Sudah tentu, impian tersebut disuarakan selepas saya menimbang tara persediaan, komitmen, pengorbanan dan tanggungjawab yang bakal hadir seiring serta saya tidak kisah,” tulis Nazim.
Nazim, 38, yang popular dengan drama Kau Cipta Kasih menjelaskan, penonton sering melihat dirinya membawakan watak yang stereotaip kerana telah dilabel oleh penerbit untuk watak-watak tertentu.
Kata Nazim lagi, sebagai pelakon dia juga bersedia untuk menghadiri sesi uji bakat andai pihak penerbit tidak yakin dengan kemampuannya.
“Penonton selalu nampak saya melakonkan watak serupa kerana telah dilabel oleh penerbit. Kalau ada watak yang sesuai tetapi masih tidak yakin, saya tidak kisah untuk datang uji bakat.
“Nazim Othman terlalu jambu untuk watak tentera? Itu terlalu klise. Cuba dulu baru tahu,” tulis Nazim.
Terdahulu, Nazim yang sering membawa watak anak orang kaya menyeru pihak penerbit untuk memberi peluang kepadanya membawakan watak askar dengan memuat naik sebuah video pasukan tentera menamatkan latihan dalam Instagramnya baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE