fbpx

Kereta curi di KL, dijumpai hangus di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk kampung melihat keadaan kereta jenis Nissan Silvia 180SX yang dipercayai dibakar di laluan masuk SK Kampung Tasek dekat Sungai Petai, Pasir Puteh hari ini.

PASIR PUTEH – Sebuah kereta jenis Nissan Silvia 180SX yang dilaporkan hilang di Kepong, Kuala Lumpur semalam ditemui sudah hangus dipercayai telah dibakar di laluan masuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tasek, Sungai Petai di sini hari ini.

Difahamkan, kereta yang turut dikenali sebagai S13 itu hanya dikeluarkan di Jepun bermula 1989 hingga 1993 dan harga semasanya kini mencecah hampir RM100,000.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan sebuah kereta yang terbakar pada pukul 11 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, semakan awal mendapati, kereta berkenaan dipercayai dicuri di sekitar Kepong sebelum dibakar di lokasi yang jauh dari pandangan umum di daerah ini.

“Berdasarkan nombor casis kereta itu, ia dilaporkan hilang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kepong semalam. Keadaan kereta itu sudah hangus keseluruhannya apabila 100 peratus bahagiannya telah terbakar.

“Berdasarkan soal siasat, pengawal keselamatan sekolah berkenaan memaklumkan dia menyaksikan kebakaran pada pukul 6 pagi, namun tidak melaporkan kejadian tersebut kepada sesiapa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Ediansha, setakat ini, tiada saksi awam lain yang sedar dan mengetahui bagaimana kereta tersebut boleh berada di lokasi kejadian.

Katanya, beliau juga menafikan bahawa terdapat tiga mayat rentung yang berada di dalam kereta itu seperti yang tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI