SEKSI itu sifatnya subjektif. Kalau seseorang itu terutama golongan wanita berpenampilan mencolok mata atau menutup aurat tubuh badannya dengan sempurna sekali pun, istilah seksi boleh melekat waima tanpa atau dengan menampakkan lentik tubuh badan.
Buat bintang yang sering terpalit sensasi, istilah tersebut sering menjadi predikat namanya. Janna Nick atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner kerap menjadi mangsa kecaman kerana dikatakan sering ‘mengundang’ komen-komen berbaur ‘miang’ berikutan perkongsian foto menggiurkan dalam media sosial terutama Instagram.
Muncul dengan single terbaharu, penyanyi berusia 27 sekali lagi dilihat cuba mengundang perhatian. Bukan sahaja subjek ‘gatal’ yang dipersembahkan, video muzik dengan aksi sedikit erotik juga mudah memanaskan sensasi.
Kalis kecaman
“Kalau kita buat, maknanya kita sudah bersedia (menerima kecaman). Kalau tak bersedia memang tidak akan buatlah.
“Sebenarnya, saya memilih lagu yang selamat untuk kualiti vokal tapi perlu ada elemen yang kuat (untuk dijual kepada pendengar). Takkan saya nak nyanyi lagu macam lagu sekolah pula.
“Kena ada makna kenapa orang nak dengar, nilai kontroversi yang terkandung dalam lagu ini,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas lanjut, Janna sangat optimis dengan kemampuan nyanyiannya, cuma memerlukan latihan yang cukup untuk terus memperbaiki diri.
“Saya yakin saya boleh menyanyi. Cumanya, saya perlukan latihan yang banyak. Saya perlu belajar macam mana nak kurangkan rasa gemuruh depan khalayak yang ramai dan sebagainya.
“Pada masa sama, sebenarnya saya tak kisah kalau dikritik. Kalau saya buat salah, sudah tentu orang layak kritik. Kalau apa yang saya buat sempurna, orang akan puji.
“Kalau saya buat sesuatu dalam kerjaya seni, saya tak mengharapkan pujian semata-mata. Saya terbuka kalau nak kritik tetapi tolong guna bahasa yang sopan dan beradab,” jelasnya.
Tak janji berubah
Untuk tahun 2022, Janna juga tidak menjanjikan dirinya vakum daripada sebarang perkara berbaur sensasi terutama dari segi imej seksi atau ‘mengundang’ komen lelaki gatal yang ibarat semut menghurung gula, tetapi ikrarnya, untuk melakukan yang terbaik.
Terangnya, 2022 adalah tahun untuk perlahan-lahan tertib bab penampilan selari dengan kematangan usia yang semakin menebal.
“Macam hari ini (tempoh hari), berlaku kesilapan pemilihan busana. Baju dah ‘fitting’ tapi tak sempat nak betulkan pada saat akhir. Jadi, saya seboleh-boleh tutup (bahagian) mana yang mampu.
“Saya tak mahu berjanji yang saya tak tukar imej atau tak pakai baju seksi dan sebagainya. Tapi, kalau kalian perasan tahun 2022 baju yang saya pakai semua besar-besar. Cuba tengok Instagram saya.
“Sungguhpun begitu, saya tak boleh janji itu ini. Tidak tahulah. Kita tengok macam mana. Doakan yang baik-baik sahaja agar kita semua jadi manusia lebih baik hari demi hari,” tuturnya.
Menyedari segala perkongsian atau bual bicaranya mudah mempengaruhi masyarakat kerana diri berstatus seorang selebriti, Janna memaklumkan, dia juga sama seperti orang lain yang tidak boleh lari daripada melakukan khilaf.
“Macam saya cakap, dalam Instagram pun baju dah besar-besar dan longgar-longgar. Beginilah, jangan fokus kepada kecaman sahaja. Kalau boleh saya nak orang alihkan perhatian untuk perkara-perkara yang bersifat positif.
“Nasihat saya, kalau ada yang tak baik, jangan ikut tapi kalau ada yang baik daripada saya, bolehlah jadikan ikutan.
“Saya tak janji akan ‘behave’ tapi akan cuba jadi yang terbaik untuk diri dan semua orang,” kata pelakon drama rantaian berjudul Shakira itu.
Kahwin, masuk AJL
Diajak berbicara tentang hubungan cinta dengan kekasih, Dini Schatzmann, wanita asal Sungai Petani, Kedah itu memberitahu, mereka sudah mula merancang untuk ke fasa perkahwinan.
Bagaimana kata Janna, kalau semuanya sudah tersedia dan rasmi untuk dicanangkan kepada orang ramai, tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada pengetahuan umum terutama rakan media.
“Insya-Allah, fasa seterusnya (perkahwinan) itu akan sampai. Saya tak tahu tapi kalau sudah ada tarikh yang rasmi dan apa yang nak ditetapkan, saya akan berkongsi kepada rakan media dan melayangkan jemputan.
“Jangan risau. Insya-Allah. Memang ada dan kami sudah mula rancang tapi nantilah,” ujar Janna yang ketika diwawancara tidak lekang senyuman di bibir walaupun dihambat soalan berbaur sensasi.
Sebelum menggulung perbualan, dijentik pertanyaan tentang harapan buat Gatal ciptaan sepenuhnya Aepul Roza bukan hanya diterima pendengar bahkan barangkali, lolos ke pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).
Sebagai penyanyi, Janna tidak menolak andai perkara tersebut terjadi.
“Nak masuk AJL tapi takut. Takut sebab kita tahu yang bersaing semuanya nama besar. Saya pernah masuk peringkat separuh akhir Muzik-Muzik dan saya melihat kalau buat persembahan cukup latihan, saya tiada masalah gagal atas pentas.
“Dan bermula dari situ, saya fikir saya sebenarnya nak bertanding di pentas besar AJL. Tak menang pun tak mengapa, janji dapat ‘perform’.
“Sebab saya nak buktikan kepada khalayak bahawa saya boleh. Layak atau tidak, itu berbalik kepada penilaian orang. Saya tak boleh buat penilaian, nanti orang cakap ‘syok sendiri’ pula.
“Terpulang kepada juri dan pendengar yang undi (untuk masuk peringkat separuh akhir). Kalau masih tak dapat, tak mengapa tapi tak bermakna usaha saya akan berhenti di situ,” ujarnya memberi noktah bicara.