MILAN – Biarpun motivasi untuk turun menghadapi Liverpool pada pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara sedikit terjejas ekoran kehilangan status sebagai pendahulu Serie A, namun Inter Milan mengakui sudah bersedia untuk memastikan lawan mereka pulang hampa.
Ahad lalu, Inter sekadar terikat 1-1 menentang Napoli menyebabkan mereka terpaksa membenarkan seteru utama, AC Milan melonjakkan kedudukan untuk memimpin saingan liga tersebut.
Penyerang Nerazzurri, Edin Dzeko percaya Liverpool akan menampilkan aksi menyerang dari awal permainan, namun Inter tidak bersedia memberikan laluan mudah buat juara Eropah enam kali itu.
“Liverpool adalah pasukan pilihan pada perlawanan itu nanti dan semua orang tahu mengenainya. Mereka mampu untuk ‘menyakiti’ sesiapa sahaja yang menjadi lawan mereka dalam setiap perlawanan.
“Bagaimanapun, mereka perlu tahu kami bukanlah seperti pasukan-pasukan Itali yang gemar untuk bertahan. Inter sangat berbeza kerana kami cenderung untuk bermain secara terbuka,” katanya.
Pada masa sama, pemain antarabangsa Bosnia itu menggesa barisan pertahanan Inter supaya berwaspada dengan ancaman jentera serangan Liverpool yang akan diketuai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL), Mohamed Salah.
“Sebelum perlawanan itu nanti, saya mahu bersembang dengan Mohamed Salah dan Alisson (Becker) kerana kami pernah bermain bersama sebelum ini. Dia (Salah) sangat berbahaya jika diberikan banyak ruang, jadi kami perlu berhati-hati,” ujar Dzeko. – AGENSI