HULU TERENGGANU – Hujan lebat sejak semalam menyebabkan hampir 10 kampung di mukim Hulu Telemong di sini dilanda banjir kilat hari ini.
Antara kawasan di dalam mukim itu yang terlibat ialah Matang, Nibong, Paloh Nyior dan Kampung Bukit Tadok.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paloh Nyior, Mohd. Sharif Jusoh berkata, begitupun, banjir cepat surut dan setakat ini tiada keperluan untuk membuka mana-mana pusat pemindahan sementara (PPS).
“Sebenarnya daerah ini khususnya mukim Hulu Telemong sudah lama tidak dilanda banjir pada bulan Februari sewaktu di penghujung monsun Timur Laut sepert ini.
“Bah selain bulan November hingga Januari ini kami penduduk setempat zaman dahulu panggil sebagai ‘bah hanyut nangga’,” katanya kepada ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Sharif berkata, ‘bah hanyut nangga’ biasanya berlaku sewaktu peralihan monsun antara bulan Febuari hingga April. – KOSMO! ONLINE