SEREMBAN – Red Sea Industries Sdn. Bhd. (Red Sea) pengimport dan pengedar garam jenama Sasa di rantau Asia Tenggara, sedang menyusun strategi untuk meluaskan penguasaan pasarannya dan kembali aktif mempromosikan kebaikan bahan semula jadi itu kepada umum.
Pengarah Urusannya, Syafirol Hafiz Arsad berkata, garam yang dihasilkan di sebuah kilang pengeluaran terbesar di Arab Saudi iaitu Saudi Automatic Salt Refinery di Jeddah itu mula dipasarkan di Malaysia sejak bulan Jun tahun lalu setelah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.
Menurutnya, sumber garam dari Laut Merah iaitu laut yang terpanas dan kedua termasin di dunia itu memiliki kandungan mineral semula jadi.
“Ini kerana, ia menghasilkan garam berkualiti tinggi hingga 99.7 peratus ketulenan dan sifar peratus kekotoran logam berat.
“Ia adalah bahan masakan terbaik untuk kegunaan harian dan kini menjadi pilihan ramai pemilik restoran dan cef profesional di Asia Barat yang mementingkan kualiti bahan masakan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Syafirol Hafiz menjelaskan, garam jenama Sasa mula berada di pasaran sejak 1960 dan pada peringkat awal ia diproses secara tradisional, kemudian dikomersial secara berperingkat sehingga mendapat pengiktirafan pensijilan ISO 22000, Keselamatan Makanan dan Halal.
Tambah beliau, produk tersebut ditawarkan di Malaysia dalam botol seberat 700 gram dan ia boleh didapati di lebih 2,000 rangkaian kedai serbaneka di seluruh negara.
“Garam Sasa akan menembusi pasar raya besar seperti AEON, Segi Fresh dan Mydin tidak lama lagi, selain diperluas ke semua kedai dan gedung perniagaan lain dengan tawaran harga murah,” jelasnya. KOSMO!ONLINE