PUTRAJAYA – Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2022 (DPT BLN1/2022) telah diperakui dan diwartakan hari ini dengan ia dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula hari ini hingga 17 Mac depan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, DPT BLN1/2022 itu mengandungi nama bagi 36,408 orang warganegara berumur 18 tahun dan ke atas pada 1 hingga 31 Januari 2022 yang didaftarkan sebagai pemilih baharu secara automatik.
Katanya, ia turut mengandungi 8,579 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 7,164 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi dalam tempoh 1 hingga 31 Januari 2022.
“SPR menyediakan empat kaedah semakan bagi DPT BLN1/2022 iaitu Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.
“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status atau kategori pengundi dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Januari 2022 untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2022.
“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di samping itu, menurut Ikmalrudin, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Katanya, Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
Ujarnya, ia hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN1/2022.
“Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN1/2022 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE