GEORGE TOWN – Tindakan seorang lelaki menyamar dan mengaku sebagai seorang anggota polis dengan menghantar rakaman video yang menunjukkan sepasang gari dengan niat untuk menakutkan seorang lelaki mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, suspek berusia 30-an yang bekerja sebagai buruh itu ditahan polis di Jalan Bertam 2, Kepala Batas di Seberang Perai dekat sini kira-kira pukul 10.00 pagi.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai merakam video tersebut dengan niat untuk menakutkan mangsa yang bekerja sebagai peniaga.
“Selain itu, suspek juga didapati meminta mangsa yang berusia 32 tahun itu agar menghormatinya susulan daripada masalah yang dihadapi oleh mereka sebelum ini berkaitan isu rumah sewa.
“Tangkapan ke atas suspek yang berusia 30-an yang berasal dari Sungai Petani, Kedah telah dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara selepas mangsa membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.
Rahimi berkata, pihak polis juga turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk membuat rakaman serta sepasang gari bersama anak kunci daripada suspek.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan (menyamar sebagai penjawat awam) dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 (memiliki peralatan polis tanpa kebenaran). – KOSMO! ONLINE